BESUT: Seorang penuntut universiti nyaris maut apabila kereta dipandu terbabas dan terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Jalan Kampung Amer, di sini pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Seorang penuntut UiTM cawangan Perlis terlibat nahas di Jalan Kampung Amer apabila Perodua Myvi dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai ketika dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
  • Mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan orang ramai, pihak bomba dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut.
  • Mangsa dihantar ke Hospital Besut dan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis Kampus Arau, Nur Fatnin Insyirah Mohd Nazri, 21.

Menurutnya, insiden itu dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu untuk mengambil rakannya sebelum menuju ke Arau, Perlis.

"Sebaik melalui lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa telah terbabas dan masuk ke dalam sungai.

"Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dengan bantuan orang ramai, pihak bomba dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut," katanya di sini pada Ahad.

Jelas Abdul Rozak, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku kerana mangsa tidak biasa melalui jalan di kawasan berkenaan.

"Mangsa yang terselamat telah dihantar ke Hospital Besut dan berada dalam keadaan stabil.

"Kes ini disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya. -Sinar Harian