KEPALA BATAS: Meskipun dilahirkan cacat penglihatan, ia tidak menghalang Amzar Haziq Md Fauzi menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Amzar Haziq, 20, penuntut Maahad Tahfiz al-Quran Darul Syatibiyyah di Kampung Tasek Junjung, Bukit Mertajam dekat sini membaca al-Quran Braille dan berjaya menghafaz 6,236 ayat dalam tempoh tiga tahun enam bulan.

"Saya belajar di maahad tahfiz sejak berusia 13 tahun dan mula menghafaz al-Quran pada umur 15 tahun. Jadi, setiap hari selepas solat Isyak, saya akan mula membaca dan menghafaz sehingga lewat malam," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara kali kesembilan di Dewan Millenium, di sini, pada Ahad.

Amzar Haziq menjadi antara 872 pelajar maahad tahfiz yang menerima sijil termasuk Sijil Syahadah daripada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid pada majlis itu.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam itu berkata, walaupun tidak dapat melihat setiap huruf dan baris ayat al-Quran, beliau bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan 'mata hati' yang terang yang memudahkannya membaca dan menghafaz kitab suci berkenaan.

"Cita-cita saya nak jadi imam di masjid dan dalam masa sama, saya merancang untuk meneruskan pengajian dalam bidang al-Quran," katanya yang kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Madrasah Tahfiz al-Quran Darul Syatibiyyah.

Sementara itu, pesara kerajaan Harlina Mohamed On, 55, tidak menyangka anak tunggalnya Sarah Izzah Marhalim, 21, yang mempunyai sindrom Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) mampu menghafaz al-Quran dalam tempoh tiga tahun lapan bulan.

Harlina berkata, anaknya yang mempunyai masalah untuk fokus dalam pembelajaran dan tidak dapat bertutur dengan baik mula menunjukkan minat serta kecenderungan dalam al-Quran ketika di sekolah rendah.

Ini mendorongnya menghantar Sarah Izzah ke Madrasah Tahfiz Deeniyat Lil Ummah di Bangi, Selangor.

"Saya tidak meletakkan sebarang pencapaian ke atas Sarah, bagi saya jika dia mahu ke maahad tahfiz, berada dalam kelas agama itu sudah cukup baik, tetapi dengan pencapaian boleh menghafal 30 juzuk al-Quran itu sudah pasti mengembirakan saya dan ia juga satu bonus," katanya sambil menambah Sarah kini sedang mengikuti Diploma Pengajian Islam di Akademi Dakwah Interektif dan Tarbiyah Kuala Lumpur.
- BERNAMA