KUALA LUMPUR: Persatuan Strategik Maritim Malaysia (MASTRA) melihat penstrukturan semula pelaksanaan projek kapal tempur pesisir (LCS) sebagai peluang keemasan untuk memulihkan ekosistem yang tercemar dan memperkukuh ekosistem maritim Malaysia umumnya.

MASTRA dalam satu kenyataan pada Ahadi turut menyarankan supaya pihak terlibat melantik ahli Lembaga Pengarah Syarikat dari kalangan mereka yang berkompetensi dan berintegriti.

"MASTRA juga menyarankan supaya satu Jawatankuasa Perlantikan ditubuhkan untuk meluluskan pelantikan ke jawatan penting dan strategik sebagai satu tindakan memperkukuhstruktur tata kelola," katanya.

Pada 26 Mei lalu, Boustead Holding Bhd (BHB) melalui anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), memeterai perjanjian kontrak tambahan keenam dengan Kementerian Pertahanan.

Menurut pengerusi BHB Datuk Nazim Rahman, perjanjian itu antara lainnya memperincikan penyerahan projek dan tadbir urus dalam memulihkan projek LCS.

Menurut Nazim, perjanjian itu adalah hasil daripada semakan menyeluruh membabitkan pelbagai pilihan dan semua aspek projek oleh pelbagai kementerian dan agensi di bawah kerajaan dan BNS dengan matlamat tunggal kontrak ini adalah untuk menghidupkan semula projek LCS, selaras dengan Pelan Transformasi Armada 15 hingga 5 oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Di bawah perjanjian ini, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan untuk memastikan LCS dihantar tepat pada masanya dan mengikut bajet yang diperuntukkan, kata Nazim.

Ia termasuk pembentukan jawatankuasa pemantauan projek, yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi mengukuhkan pelaksanaan dan penyeliaan penyampaian projek dalam memastikan kegagalan masa lalu tidak berlaku sekali lagi.

Sementara itu, MASTRA mewakili ahli yang terlibat secara langsung dalam projek LCSsebagai Rakan Teknologi Tempatan dan Vendor kepada BNS turut menyambut baik langkah kerajaan, TLDM dan BNS yang telah mencapai titik pertemuan dengan memeterai perjanjian kontrak tambahan tersebut.

MASTRA berkata tindakan yang diambil pihak kerajaan itu adalah langkah tepat yang bukan sahaja menjaga kedaulatan, kepentingan keselamatan dan pertahanan negara tetapi juga positif dalam memastikan kelangsungan industri pertahanan.

"Keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS akan memastikan beribu pekerja mahir dan tenaga pakar tempatan yang terlibat akan dapat terus menyumbang kepada kejayaan projek LCS khususnya dan ekosistem maritim Malaysia," kata persatuan itu.

-- BERNAMA