KUALA LUMPUR: Peminjam bank yang berdepan masalah pembayaran semula pinjaman perlu menghubungi bank berkenaan untuk membincangkan langkah bantuan kewangan seperti penjadualan semula dan penstrukturan semula (RR) bagi membantu mengurangkan bebanan kedudukan aliran tunai masing-masing. 

Bank ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai untuk kekal komited dalam menawarkan bantuan kewangan kepada peminjam yang mempunyai masalah kewangan.

“Bank-bank ini menyokong sepenuhnya saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini agar bank menawarkan RR kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan semalam. 

ABM berkata peminjam yang memerlukan bantuan kewangan dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing menerusi saluran rasmi bank secepat mungkin untuk membincangkan pilihan yang sesuai untuk pembayaran balik.

Sebagai alternatif, katanya peminjam juga boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Program Pengurusan Kredit (DMP) untuk individu atau Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) bagi PKS.

Menurut kenyataan itu, pelanggan bank juga dinasihatkan berwaspada dengan penipu atau 'scammer' serta tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen/wakil bank berhubung aspek berkaitan bantuan pembayaran balik kerana bank tidak melantik atau melibatkan pihak ketiga atau ejen bagi tujuan ini

-- BERNAMA