KUALA LUMPUR: Selamat menyambut tahun baharu 2024. Semoga Malaysia terus makmur dan sejahtera. Apa keutamaan kita untuk 2024?

Yang pasti suasana global kekal mencabar. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menurun buat kali ke tiga berturut-turut, 3.5% (2022), 3.0% (2023) dan 2.9% (2024). Negara-negara maju juga sama, dijangka kekal lembap dari 2.6% (2022), 1.5% (2023) dan 1.4% (2024).

Malaysia sebuah negara kecil dan terbuka, pertumbuhan ekonomi global dan negara-negara maju umumnya penentu utama kepada pertumbuhan kita. Permintaan domestik (perbelanjaan isirumah, pelaburan swasta, dan perbelanjaan kerajaan) menjadi penyokong kepada pertumbuhan.

Pertumbuhan ekonomi adalah ‘keberhasilan akhir’ pengurusan ekonomi yang berjaya. Kita sering dibuai oleh alunan ‘cyclical’, peratus pertumbuhan yang melekakan. Kesan ‘air pasang’ global yang mengapung tinggi semua bot dan sampan, melekakan kita. Kita gagal memberi perhatian dan komitment yang bersungguh-sungguh untuk memastikan perkara-perkara asas struktur ekonomi negara turut berubah menepati keperluan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ini masalah dan cabaran besar pengurusan ekonomi kita. Ini yang menjadi mukadimah ucapan peluncuran Ekonomi Madani. Kata PM, kita terperangkap. Jangan leka. Penstrukturan semula ekonomi adalah pokok dalam memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dan dihormati.  Kita mesti segera keluar dari diperangkap ini.

Hampir semua permasalahan struktur yang kita hadapi hari ini bukan baharu, telah lama dikenalpasti dan dinyatakan dalam pelan-pelan pembangunan kita. Namun, komitmen menjayakan penstrukturan semula ekonomi negara jelas tidak bermaya.

Antaranya, mengubah enjin ekonomi menjadi lebih kompleks dan bernilai tinggi. Meningkatkan pendigitilan dan adaptasi teknologi. Mengukuhkan kualiti insan, tenaga kerja dan bakat. Meningkatkan integriti dan menghapuskan rasuah. Meningkatkan kecekapan dan keadilan pasaran (barangan, perkhidmatan dan tenaga kerja). Memulihkan kedudukan fiskal.  Meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Memastikan keterjaminan makanan. Mengimbangi pembangunan wilayah. Menjamin kelestarian. Meningkatkan martabat dan kesejahteraan kehidupan dan banyak lagi elemen-elemen struktur yang perlu ditangani.

Semua pemimpin dan perancang ekonomi  negara  mesti jelas, fokus kepada misi ‘menstruktur semula’ ekonomi negara. Kalau kita ingin mengukur kejayaan mengurus ekonomi negara, ciri-ciri struktur inilah yang seharusnya menjadi petunjuk kepada kita, bukannya ‘peratus pertumbuhan’ ekonomi yang turut dipengaruhi oleh prestasi global.

Pada hemat saya penstrukturan semula ekonomi seharusnya menjadi agenda pembangunan paling utama 2024.

Kita perlukan Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Madani. Memperincikan tindakan-tindakan strategik yang akan dilaksanakan bagi merealisasikan matlamat Ekonomi Madani.

Ekonomi Madani yang diluncurkan pada bulan Julai 2023 yang lalu meletakkan matlamat dan sasaran yang jelas tetapi perincian tindakannya masih belum jelas. Saya menyanjung kecerahan halatuju Ekonomi Madani, menjadi ‘Peneraju Ekonomi Asia’ dan  ‘Meningkatkan Darjat Kehidupan Rakyat’, cukup untuk menjadi laungan reformasi ekonomi. Saya menyambut baik penubuhan Unit Pantau Madani yang baru ditubuhkan. Pelaksanaan dan pemantauan adalah sangat penting.

Persoalan yang bermain difikiran saya ialah, bagaimanakah kerangka Ekonomi Madani ini diperturunkan dan dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan? Apakah tindakan-tindakan strategik yang akan digerakkan bagi merealisasikan Ekonomi Madani? Kejelasan ini penting bagi memastikan semua kita  bergerak bersama.

Membangunkan negara adalah tanggungjawab semua. Tidak mungkin satu kementerian sahaja mencukupi. Sehingga kini hasrat menstruktur semula ini hanya kedengaran dari beberapa pemimpin.  Beberapa tindakan strategik yang mengubah pendekatan dan tatacara telah diumumkan. Ini yang perlu kita utamakan. Berani dan segera berubah. Meninggalkan cara lama yang diwarisi dan tidak lagi berkesan.

Merealisasikan Ekonomi Madani memerlukan semua  kementerian jelas dengan apa yang mereka perlu laksanakan. Bezakan aspek pengoperasian lazim dengan tindakan strategik. Angkat misi besar menstruktur semula ekonomi negara.

Mesti ada kebersamaan dikalangan ahli kabinet. Setiap Menteri dan agensi-agensi yang dibawahnya mesti jelas dengan mandat strategik ini dan berupaya menggerakkan penstrukturan yang diperlukan. Jangan Ekonomi Madani hanya di ucapan Perdana Menteri tetapi tidak kedengaran ditempat lain.

Bersempena tahun 2024, saya anjurkan tindakan-tindakan strategik ini diumumkan kepada masyarakat. Apakah tindakan-tindakan penstrukturan semula yang bersifat strategik yang akan digerakkan bagi merealisasikan Ekonomi Madani?

Kementerian manakah yang akan menerajui setiap satu penstrukturan semula ini? Apakah sasaran untuk tahun 2024? Setiap satu tindakan penstrukturan dipantau pelaksanaannnya dan dilaporkan prestasinya.

Semoga 2024 menjadi tahun yang lebih hebat untuk kita semua. Marilah bersama kita membangunkan negara kita yang tercinta.



* Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Azlan Ghazali merupakan pakar ekonomi yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.