TEMERLOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM17,859 daripada ejen-ejen pengurusan jenazah bagi mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di sebuah hospital, di sini.

Lelaki itu yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Perubatan Forensik di sebuah hospital telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh, pada Selasa.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Febuari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.

Dia  yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Shah Reza Noot Azman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan sebanyak RM17,859.00 sekitar tahun 2021 hingga 2022.