MELAKA: Seorang penolong pegawai Jabatan Perangkaan Negeri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menyalahgunakan harta berjumlah hampir RM85,000, tiga tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga Norrul Huda Marsidin, 40, didakwa mengemukakan invois mengandungi penyataan palsu milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 Nov 2021, bagi perkhidmatan membekal makan minum untuk taklimat di jabatan berkenaan berjumlah RM6,640, yang sebenarnya tidak dibekalkan.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Norrul Huda didakwa dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Jabatan Perangkaan Negeri Melaka dan Pertubuhan Belia Bersatu Kampung Tenang untuk diri sendiri, melibatkan wang masing-masing berjumlah RM18,154.10 dan RM59,400, antara Disember 2021 hingga November 2022.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan dengan sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan minimum antara RM15,000 dan RM20,000, atas alasan anak guamnya mempunyai pendapatan RM5,000 sebagai penolong pegawai dan menyara ibunya yang menghidap kencing manis, selain anak guamnya menghidap penyakit anxiety disorder dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA