PUTRAJAYA:Penjara Kepayan dan kawasan kuarters kakitangannya di Kampung Matambai di Kota Kinabalu merupakan lokasi terbaharu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 20 Oktober hingga 2 November.

Berikut adalah lima perkara penting dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

1. PKPD Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan membabitkan 3,511 orang termasuk banduan.

2. Prosedur operasi standard (SOP) di penjara adalah SOP baharu yang dibentangkan oleh Jabatan Penjara, dengan banduan akan ditempatkan di pusat transit terlebih dahulu sementara menanti keputusan saringan.

3. Kerajaan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang dan mengeluarkan SOP berkaitan sambutan Deepavali tidak lama lagi.

4. Kerajaan sedang membuat penilaian untuk mengetatkan SOP atau kemungkinan pelaksanaan PKPD di kawasan di Lembah Klang, susulan peningkatan kes positif. 

5.  Rakyat Malaysia dari Singapura tidak pernah dihalang untuk pulang ke Malaysia. Terdapat beberapa kategori permohonan bagi urusan keluar masuk ke Malaysia dalam tempoh PKPP yang boleh dipohon melalui MyTravelPass yang boleh diakses di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen.