Kerajaan politik (political government) yang didominasi oleh bumiputera khususnya bangsa Melayu menjadikan isu kemiskinan dan pembangunan BCIC sebagai alat propaganda politik, seterusnya keberkesanan agenda pembangunan bumiputera dipertikaikan. Tambahan, keupayaan struktur hari ini juga tidak lagi dapat menampung ekspetasi pengundi dan rakyat keseluruhannya akibat daripada faktor-faktor dalaman dan luaran.
Hakikatnya,struktur sedia ada perlu dilihat semula dalam konteks negara maju (advance economy) yang didasari oleh peranan pressure group yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ledakan netizen sebagai third force dalam pembentukan negara bangsa hari ini sedikit sebanyak telah menjejaskan pengoperasian perkhidmatan awam untuk bertindak dengan lebih cekap dan berkesan.
Persoalan timbul - Adakah model ekonomi yang wujud tidak mampu didokong oleh kerajaan? Siapakah yang berperanan dalam memimpin dan mengurus sumber yang ada hari ini? Bilakah ekosistem perniagaan di Malaysia akan beralih kepada aktiviti berasaskan inovasi dan kreativiti? Adakah modal insan perkhidmatan awam tidak bersedia dengan cabaran baru? Adakah penjawat terlalu selesa dengan struktur operasi sedia ada? Apakah peranan wakil rakyat dan sekutu politik dalam melaksanakan agenda bumiputera dengan berkesan? Apakah sumbangan BCIC dalam membina sebuah ekosistem yang mampan dalam menghadapi cabaran global? Adakah dasar mesra Melayu memberi tindakbalas negatif kepada kemampuan struktur kerajaan seterusnya bangsa Melayu? Apakah nilai baru yang perlu dihayati oleh orang Melayu untuk tidak dijajah di bumi sendiri?
Dalam menjawab persoalan-persoalan ini, perlu kita menyingkap sejarah ringkas kepada pembentukan dasar-dasar berkaitan kemiskinan dan BCIC, supaya ianya lebih jelas untuk umat Melayu dibentuk menjadi sebuah masyarakat yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersatu ke arah satu fraternity yang mampan dalam rangkaian rantaian bekalan (supply-chain-network) yang wujud.
Ringkasan Sejarah
Secara ringkasnya pembentukan dasar dan program dalam konteks ini lahir daripada kepincangan ekonomi antara kaum yang berlaku sebelum Merdeka lagi. Pengkaji sejarah perkhidmatan awam Tanah Melayu merumuskan bahawa orang Melayu pra dan pasca Merdeka adalah satu bangsa yang lebih selesa dengan kehidupan kampung sebagai petani dan tidak bercita-cita tinggi.
Sehinggalah British didesak oleh Raja Melayu supaya komposisi kaum di dalam pentadbiran awam dilihat semula oleh kerana kaum Cina sebagai kaum bukan majoriti pada ketika itu mendominasi perkhidmatan awam. Desakan itu telah menyebabkan penjajah mula melantik lebih ramai orang Melayu sebagai penjawat awam di dalam pelbagai skim perkhidmatan.
Akibat daripada itu juga, orang Melayu terus selesa dalam ekosistem makan gaji dan kerjaya sebagai penjawat awam menjadi pilihan anak Melayu sehingga hari ini selain kemudahan pencen menjadi tarikan utama. Kecendurangan orang Melayu terhadap perniagaan tidak begitu tinggi oleh kerana ianya melibatkan risiko kerugian.
Orang Cina pula berhijrah ke Malaya sebagai pelombong dan buruh kasar dengan mata gaji yang lebih rendah, tetapi mereka mempunyai sikap dan nilai yang didorong oleh kemewahan material, maka naluri mereka cenderung untuk menyimpan dan hasil simpanan dijadikan modal untuk berniaga bagi mencapai kemewahan tersebut selain memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka.
Sumber modal yang lumayan selain kesatuan yang kuat antara mereka membolehkan pelbagai sumber dapat dimiliki seperti hartanah, komoditi dan lain-lain sumber kekayaan. Hari ini, kek ekonomi Malaysia masih didominasi oleh kaum Cina disokong oleh pengguna Melayu dan lain-lain kaum dalam transaksi perniagaan harian.
Penghijrahan kaum India ke Malaya pula adalah bagi membantu British dalam sektor perladangan dan buruh kasar. Struktur masyarakat India mempunyai sedikit persamaan dengan bangsa Melayu di mana mereka lebih selesa makan gaji daripada berniaga. Sifat patuh dan taat mereka terhadap “tuan tanah” membuatkan mereka mendapat tempat di dalam pentadbiran pejabat di dalam sektor swasta dan perkhidmatan awam selepas itu.
Hari ini penglibatan mereka di dalam perniagaan juga dilihat mendahului kaum Melayu khususnya dalam sektor baharu sains dan teknologi, sains kesihatan, pendidikan digital selain sektor tradisional seperti perubatan, perundangan dan kejuruteraan. Kaum India juga terlibat di dalam jenis perniagaan yang kurang diminati oleh Melayu seperti perkhidmatan lori, kutipan sisa besi, sisa pepejal dan lain-lain sektor kurang popular.
Perkembangan ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam struktur ekonomi yang membuatkan kaum tertentu sahaja mendominasi pasaran ekonomi yang membuatkan berlaku ketidakpuashatian dalam kalangan orang Melayu sehingga hari ini. Maka lahirlah dasar-dasar kerajaan yang membolehkan peluang ekonomi, kerjaya dan lain-lain diberikan keutamaan kepada orang Melayu sebagai majoriti.
Struktur Program Pembasmian Kemiskinan Negara
Ketidakseimbangan ekonomi berlarut hingga pertumpahan darah antara kaum telah menyedarkan kerajaan politik ketika itu untuk merangka strategi pemulihan ekonomi negara melalui DEB. Nilai yang diterapkan oleh DEB berkisar kepada keadilan sosio ekonomi antara kaum didokong dengan ketatanegaraan yang kukuh dan stabil. Rukun Negara ketika itu dibentuk bagi membolehkan kepelbagaian dapat dirai dengan harmoni dan sejahtera.
Sungguhpun begitu terdapat kepelbagaian pendapat mengenai nilai kejayaan DEB. Melayu hari ini dihimpit dengan kebuntuan politik antara parti, asas ekonomi yang kurang kukuh seterusnya masalah sosial seperti dadah masih berlarutan hingga ke hari ini. Ekosistem perniagaan juga masih ditakuk lama didasari model ekonomi berasaskan perdagangan atau trading economy, menyebabkan peniaga Melayu bersifat seperti orang tengah dan lebih ekstrem sebagai rent seekers. Hasil pendapatan sebegini dilihat mudah untuk mencapai keuntungan besar dengan cepat tanpa usaha yang membebankan. Sintaksisnya, daya tahan orang Melayu amat lemah dan terjerumus dalam kemiskinan.
Dalam isu kemiskinan hari ini, beberapa ciri penting dalam mengukur kemiskinan perlu diberi nafas baru dalam konteks pasca Covid-19. Golongan T20 jatuh ke M40; M40 ke B40; dan hari ini jumlah B40 boleh berkembang menjadi B60 atau lebih, akibat daripada pandemik ini, dan ianya merentasi demografi kaum etnik dan agama. Definisi kemiskinan perlu dilihat semula supaya bentuk dan penyaluran bantuan sampai kepada sasaran tanpa dipersoalkan integriti dan kredibiliti bantuan yang disediakan. Dalam hal ini, aspek bencana alam perlu juga diberi perhatian dalam pengukuran kemiskinan.
Dalam hubungan ini, institusi kerajaan (yang diisi oleh penjawat awam) perlu memainkan peranan baru sebagai collaborative leaders bagi menjamin kemiskinan itu tidak diwarisi oleh generasi akan datang.
Peranan yang perlu diberi perhatian serius adalah seperti berikut:
- Pengstrukturan semula agensi terlibat dengan program pembasmian kemiskinan yang diketuai oleh KSN atau KPPA.
- Skim perkhidmatan yang wujud perlu dinilai semula supaya penghayatan seseorang penjawat awam terhadap program dan projek pembasmian kemiskinan ini dilaksanakan dengan berkesan.
- Menilai semula peranan ahli politik dan sekutu politik dalam proses pembasmian kemiskinan.
- Merangka program dan projek berasaskan kluster kreativiti, inovasi dan pengetahuan dan bukannya dalam bentuk wang ringgit semata-mata.
- Pengstrukturan program dan projek rentas agensi yang diketuai oleh agensi pusat.
- Memperkemas struktur negeri bagi membolehkan penyaluran bantuan lebih terselaras dan mencapai sasaran yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
- Memperkemaskan fungsi bank data kemiskinan e-Kasih dengan kolaborasi third force dan lain-lain pemegang taruh.
- Merangka satu Pelan Strategik Berpusat (Integrated Strategic Plan) yang diketuai oleh sebuah agensi pusat. Pelan Strategik ini akan merangkumi kesemua program dan projek berkaitan dapat direkod, dipantau dan dinilai secara berpusat dan berkesan.
Dengan adanya struktur yang ditambah baik ini, Melayu yang dihimpit dengan kemiskinan dapat keluar dari kepompong dengan jati diri yang kuat.
Struktur BCIC
Dalam mewujudkan sebuah komuniti perdagangan bumiputera yang mampan, kita perlu melihat semula definisi trading nation dan nilai yang terhasil daripadanya. Ekonomi perdagangan yang rancak bermula di negeri-negeri Selat dimana pedagang dari serata dunia singgah di pelabuhan untuk membawa masuk barangan daripada negara asal ke Tanah Melayu. Ini menjadikan ekosistem perdagangan di Tanah Melayu ketika itu lebih kepada jual-beli barangan siap (finished goods) dan peniaga cenderung dengan model perdagangan tersebut dan mengabaikan ekonomi berasaskan pembuatan.
Hari ini, trading atau perdagangan disalah guna oleh peniaga Melayu. Mereka lebih cenderung kepada skim perniagaan yang tidak membebankan dan memberikan keuntungan lumayan seperti ‘penjualan’ AP; ‘penjualan’ perolehan Kerajaan; multi-level marketing; dan lain-lain model perniagaan orang tengah yang bukan berasaskan pembuatan. Ini menjadikan komuniti peniaga Melayu tidak berkembang maju akibat daripada mindset cepat kaya itu tadi.
Nilai sebegini merupakan antara faktor kenapa projek kerajaan yang dikurniakan kepada peniaga Melayu gagal; banyak syarikat Melayu yang bergantung harap kepada projek kerajaan sepenuhnya; dan lebih buruk lagi apabila program dan projek tiris akibat kelemahan struktur kerajaan yang telah menelan belanja berbilion ringgit kepada peniaga Melayu. Nilai negatif trading economy ini tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak oleh kerana ianya akan terpalit dengan jenayah rasuah dan tadbir urus kerajaan yang lemah dan yang majoritinya ditadbir oleh orang Melayu sendiri.
BCIC perlu memainkan peranan baru dalam negara menghadapai model ekonomi dunia yang berasaskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi dan yang terbaru IR 4.0. Penjawat awam berperanan sebagai pemudah cara kepada model ekonomi ini tetapi kesediaan mereka masih dipersoalkan.
Di dalam buku beliau People, Power and Profits, Joseph E. Stiglitz menyatakan ekonomi yang berasaskan model yang disebut di atas akan hanya tercapai jika budaya orang tengah dan rent seekers dapat diputuskan oleh Kerajaan. Ini bagi mengelakkan ketirisan wang awam terus berlarutan. Beliau juga berpandangan, akibat daripada budaya buruk inilah generasi baru enggan berusaha untuk menjadi lebih kreatif, inovatif dan berpengetahuan oleh kerana ekosistem perniagaan tidak mesra terhadap bakat baru tempatan, lantas mereka terjerumus ke bidang yang diwarisi oleh peniaga Melayu terdahulu.
Struktur BCIC perlu diperkemaskan dengan:
- Liberalisasi minda anak muda Melayu dengan nilai-nilai tauhid yang inklusif.
- Merangka strategi baru untuk generasi muda melalui program berasaskan kreativiti, inovasi dan pengetahuan.
- Menilai peranan generasi baru dalam sektor pembuatan.
- Penjawat awam perlu dipupuk dengan minda start-up supaya penghayatan terhadap keperluan BCIC dapat dinilai dan dipermudahkan.
- Menilai semula peranan ahli politik dan sekutu politik dalam proses pembentukan dan pelaksanaan program BCIC yang ‘baru’.
Struktur pembasmian kemiskinan dan BCIC perlu diberi nafas baru. Penjawat awam sebagai agen perubahan dalam konteks ini perlu berilmu dan bukan hanya bersikap selesa dengan sumber yang ada. Sumber yang ada perlu diurus dengan berkesan tanpa tiris supaya maksud pembangunan ekonomi bumiputera dapat dicapai dengan jayanya.
Dengan adanya persekitaran perniagaan dan perdagangan yang sihat, persoalan tadi dapat ditangani dengan Melayu miskin dapat dibantu oleh rangkaian BCIC yang kukuh seterusnya matlamat Sustainable Development Goals dapat dicapai dengan baik.
* Shuhardi TR Aznan ialah calon PhD di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Pengkhususan kajian beliau adalah berkaitan evolusi Perkhidmatan Awam dan kesannya terhadap pembangunan institusi pasca DEB.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.