KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan aliran peningkatan untuk hari ke-10 berturut-turut pada Jumaat, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika potensi negara maju itu menurunkan kadar faedah utama terus ketara, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 4.4945/4995 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5675/5710 semalam.

Malah, sebelum urus niaga berakhir, ringgit mencecah paras tertinggi intra harian pada 4.4880.

Paras penutup tertinggi pernah dicatatkan sebelum ini adalah 4.4960/4985 yang dicatatkan pada 15 Mei, 2023.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data terkini AS menunjukkan ekonomi negara maju itu semakin perlahan berikutan pendirian dasar monetarinya yang ketat.

Berikutan itu, pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan besar mengalihkan tumpuannya kepada usaha melonjakkan pertumbuhan, katanya kepada BERNAMA.

"Secara ringkasnya, pengurangan kadar faedah itu dan keupayaan Fed untuk memastikan pertumbuhan akan menjadi tumpuan dalam tempoh enam bulan akan datang dan seterusnya.

"Hasil Perbendaharaan AS juga telah merosot dengan ketara, menunjukkan pasaran bon turut menjangkakan Fed mengurangkan kadar itu pada tahun ini.

"Semua petunjuk ini hanya menjurus kepada pengurangan perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Persekutuan dan Kadar Dasar Semalaman," katanya sambil menambah ini akan terus menyokong nilai ringgit.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama hari ini.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7264/7328 daripada 5.8272/8317, mengukuh berbanding euro kepada 4.8635/8689 daripada 4.9229/9266 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0177/0214 daripada 3.0450/0475 sebelum ini.

Prestasi ringgit juga lebih baik berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.8 daripada 281.2/281.6, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3750/3793 daripada 3.4124/4153 semalam, naik berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 daripada 7.83/7.84 sebelum ini dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7093/7284 from 12.8239/8384.

-- BERNAMA