JERTIH: Seorang peniaga keropok dalam talian di sini mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas terperdaya dengan tawaran pinjaman yang tidak wujud di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata wanita berusia 29 tahun itu pada mulanya menekan beberapa pautan iklan pinjaman peribadi di laman Facebook pada 15 Nov lepas.

“Sehari kemudian, suspek yang menghubungi mangsa melalui WhatsApp memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat pinjaman wang dan wanita itu membalas berminat untuk memohon pinjaman peribadi sebanyak RM120,000.

“Dua hari kemudian, mangsa dihubungi lagi oleh individu yang mendakwa daripada sebuah syarikat pinjaman berbeza serta bertanyakan perkara sama dan mangsa membalas berminat untuk memohon pinjaman peribadi RM75,000,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Md Sani berkata suspek kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan dokumen berkaitan dan kedua-duanya telah berhubung selama hampir sebulan melalui aplikasi WhatsApp hinggalah laporan polis dibuat semalam.

“Dalam kes ini, suspek meminta peniaga itu memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan sebagai syarat untuk memperoleh pinjaman yang dimohon.

"Mangsa telah menggunakan wang milik sendiri dan suami yang dimasukkan ke sembilan akaun berbeza berjumlah RM228,205 secara berperingkat sebanyak 89 kali," katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis selepas menyedari ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA