Pengusaha dan pemain industri batik Kelantan dan Terengganu menyambut baik hasrat Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang akan memohon kepada Parlimen supaya membenarkan pemakaian batik oleh Ahli Parlimen ketika bersidang.

Kata mereka, hasrat berkenaan bagai "menyorong bantal kepada orang sedang mengantuk", yang mana ia boleh dijadikan pemangkin untuk merancakkan kembali industri batik tempatan.

Pengusaha dan pemain industri batik lukis dan batik tekap di dua negeri itu kini berdepan zaman malap apabila lambakan batik dari Indonesia dan China menjadi pilihan pengguna kerana harganya yang murah.

BACA: YDP Speaker.. tolonglah, ini Batik Malaysia!

Inisiatif ini juga dilihat bakal mengembalikan zaman kegemilangan batik sutera dan tradisional tempatan, kata seorang pengusaha batik Kelantan, Nor Atirah Razali.

"Ketika ini, perniagaan batik mengalami zaman kejatuhan. Apabila adanya cadangan sebegini, diharapkan ia akan menaikkan lagi perusahaan batik dan ekonomi peniaga," katanya.

BACA: Netizen setuju batik dipakai di Parlimen

Manakala, menurut seorang lagi pengusaha batik di Terengganu, Mohd Noor Ibrahim, harga batik tempatan tidak semahal yang disangka ramai.

"Harga batik dari dahulu sehingga sekarang masih sama, tetapi kerana banyak tiruan, jualan batik kita jadi terjejas," katanya.



BACA: Pemakaian batik di Parlimen suatu yang baik - Rais Yatim

Pada Rabu, Nurul Izzah berkata akan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof agar membenarkan Batik Malaysia dipakai oleh semua Ahli Parlimen lelaki ketika bersidang di Dewan Rakyat.

Pemakaian batik sebelum ini, kata Nurul Izzah, tidak dibenarkan di Parlimen.