PERDEBATAN ‘panas’ mengenai asal usul batik di antara netizen Malaysia dan Indonesia masih berlarutan sehingga kini di seluruh platform media sosial.

Perbalahan itu tercetus susulan selebriti Internet sensasi dan penstrim dalam talian dari Amerika Syarikat, IShowSpeed atau nama sebenarnya, Darren Jason Watkins Jr, menerima beberapa helai baju batik daripada peminat Malaysia.

Hadiah itu diberikan ketika beliau berada di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam siri jelajah sulungnya ke Asia Tenggara.

Menerusi rakaman video yang memaparkan situasi tersebut, sejurus selepas menerima hadiah tersebut, IShowSpeed bertanya kepada pemandu pelancong yang menaiki kenderaan bersamanya berhubung negara asal batik.

Pemandu pelancong tersebut bagaimanapun cuba menjelaskan perbezaan motif yang terdapat pada kedua-dua jenis batik dari Malaysia dan Indonesia.

Dengan sikap ingin tahu IShowSpeed, beliau cuba mendapatkan maklumat menerusi telefon pintarnya.

Setelah menemui maklumat itu, IShowSpeed kelihatan keliru kerana didapati fakta bahawa batik berasal dari Indonesia.

Hal itu sekali gus memanaskan media sosial terutamanya di platform X, dengan netizen Indonesia mendakwa bahawa rakyat Malaysia cuba untuk ‘claim’ asal batik dari Malaysia.

Selain menerangkan perbezaan pada motif, kebanyakan netizen Malaysia dilihat turut berusaha menjelaskan sejarah batik Malaysia kepada netizen Indonesia dengan mengatakan tanah Jawa mengembangkan batik hingga tiba ke Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.

Perkara itu turut mendapat perhatian media Indonesia yang mendakwa Malaysia cuba untuk mengaku pemilikan batik dan menyeleweng sejarah asal usul batik.

Portal tempatan Kompas memetik laman web Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi (Kemendikbud Ristek) Indonesia yang menyatakan batik diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO milik Indonesia pada 2009.

Pengiktirafan itu diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Perlindungan Warisan Budaya Tak Ketara di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 2 Okt 2009.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu siri jelajah IShowSpeed, beliau dilaporkan kembali ke Malaysia dari Singapura dan bertemu dengan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Beliau yang dilihat memakai jersi JDT dalam pertemuan tersebut turut berpeluang menonton aksi bola sepak antara JDT dan Kelantan Darul Naim FC.