PUTRAJAYA: Pengurusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mereka dalam kes cukai tertunggak ditetapkan pada 17 Januari tahun depan.

Peguam Wee Yeong Kang, antara peguam yang mewakili Najib dan Nazifuddin memberitahu Bernama, pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron hari ini.

"Pengurusan kes seterusnya pada 17 Januari tahun depan adalah untuk mengemas kini status alasan rayuan dan menetapkan tarikh pendengaran," kata peguam itu.

Bekas Perdana Menteri dan anaknya merayu terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion daripada mereka.

Dua Mahkamah Tinggi di sini, telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu kepada Najib dan Mohd Nazifuddin berhubung penghakiman terus diperoleh LHDN dalam kes tunggakan cukai tersebut.

-- BERNAMA