PENGISYTIHARAN Majlis Raja-Raja yang bersetuju menamakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebagai Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya, memberi satu khabar gembira buat rakyat di pelusuk negara.

Masakan tidak, imej yang dibawa selama ini menjadikan baginda begitu dekat di hati masyarakat.

Bukan sahaja rakyat Kelantan, malah pelantikan baginda disambut penuh rasa syukur oleh masyarakat Malaysia amnya.

Di laman sosial, luahan kegembiraan dapat dilihat oleh segenap lapisan rakyat yang tidak sabar melihat pembaharuan yang bakal dilaksanakan baginda.

Diputerakan pada 6 Oktober 1969, Tengku Muhammad Faris Petra menggunakan gelaran Sultan Muhamad ke V selepas dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 2010.

Selain sifat rendah diri baginda yang kerap turun padang menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat, antara perkara lain yang turut mendapat pujian dan sebutan ramai adalah bagaimana baginda menukar lafaz 'Daulat Tuanku' kepada 'Allahuakbar'.







Namun begitu, terdapat juga sebilangan pengguna laman sosial yang dilihat menangguk di air keruh apabila menjadikan penolakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebagai satu isu.

Sultan Ibrahim, dalam penjelasan melalui akaun Facebook, menafikan segala khabar angin yang tersebar. Sebaliknya, penolakan itu dibuat kerana menghormati sistem penggiliran yang sejak sekian lama diamalkan.


Sultan Muhamad V akan memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula 15 Disember ini.