Enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana malam tadi, selamat disembahyangkan di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 kira-kira pukul 9 pagi ini.

Jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Sarawak untuk dikebumikan.

Lebih 500 ahli keluarga, pegawai dan anggota bomba serta kenalan rapat hadir untuk bersama-sama menunaikan sembahyang jenazah.

Turut sama menunaikan sembahyang jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohamad Hamdan Wahid, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Mohammad Mentek, bekas Menteri KPKT Tan Sri Noh Omar dan exco kerajaan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Sembahyang jenazah itu diimamkan oleh Penguasa Bomba Kor Agama Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Mohd Luqman Ramli.



Jenazah anggota bomba selamat tiba di Balai Bomba Seksyen 15, Shah Alam sekitar jam 8.20 pagi.

Solat jenazah dipimpin Penguasa Bomba, Kor Agama, Luqman Bin Ramli. - Astro AWANI/Hilmi Malik


Selesai solat jenazah majlis penghormatan terakhir turut diadakan buat keluarga dan anggota bomba.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari turut hadir bertemu keluarga mangsa.

Terdahulu, kesemua jenazah itu tiba di balai bomba itu kira-kira pukul 8.40 dari Hospital Serdang.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun, dan Yahya Ali, 24 tahun.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33 tahun, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.


BACA: Tragedi pertama kehilangan enam anggota serentak dalam insiden operasi

BACA: Bantuan pernafasan anggota bomba tertanggal ketika operasi

BACA: Operasi menyelamat di Puchong ikut prosedur

BACA: KPKT arah benteng banjir ditutup kepada awam