Seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung akaun syarikat SRC International Sdn Bhd iaitu entiti yang dikatkan dengan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suspek berusia 27 tahun tersebut ditahan di kediamannya di Bentong, Pahang kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu oleh sepasukan pegawai SPRM.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek yang merupakan individu kelima ditahan dalam siasatan berkenaan difahamkan mempunyai kaitan dengan pemilik syarikat perdagangan yang diberkas pada Khamis lalu.

BACA: Seorang pengarah urusan firma pembinaan direman empat hari

BACA:
Pengarah syarikat direman empat hari bantu siasatan


Empat individu lain yang telah ditahan sebelum ini ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan syarikat Putrajaya Perdana Berhad Jerome Lee, Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Shamsul Anwar Sulaiman dan pemilik sebuh syarikat perdagangan Ariffin Ismail Shahul Hameed dan pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan Datuk Rosman Abdullah.

Shamsul dan Jerome bagaimanapun telah dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin.

BACA: Sorotan seminggu isu 1MDB