Tragedi menimpa dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17 telah mengalih perhatian masyarakat antarabangsa terhadap pentingnya peranan ICT dalam membantu mencegah insiden serupa pada masa depan atau sekurang-kurannya memudahkan penyiasatan.

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengulangi gesaan Malaysia bagi pelaksanaan sistem pengesanan dan pemantauan penerbangan secara tepat masa.

Gesaan itu dibuat dalam ucapan beliau pada Persidangan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di sini pada Selasa.

Ahmad Shabery pertama kali mencadangkan perkara itu kepada ITU pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai pada Mac, beberapa minggu selepas kehilangan Penerbangan MH370.

"Empat setengah bulan kemudian, Malaysia kehilangan sebuah lagi pesawat Boeing 777 Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, dengan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 83 kanak-kanak terkorban," katanya dalam ucapannya kepada 3,000 perwakilan.

Menteri itu berkata susulan dua tragedi udara itu, Malaysia berazam untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk meningkatkan usaha agar ICT dapat memainkan peranan ebih besar dalam industri penerbangan.

"Lebih daripada itu, saya percaya pengesanan lokasi kotak hitam merupakan perkara yang sudah berlalu, kerana ia merupakan teknologi daripada 60-an. Lagipun, saya pasti teknologi masa kini sepatutnya menghantar data daripada pesawat, termasuk daripada kotak hitam, secara tepat masa," katanya.

ITU merupakan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab menyelaraskan, menguruskan dan sebagai badan pengawal bagi isu berkaitan ICT.

Diadakan empat tahun sekali, Persidangan Penuh merupakan mesyuarat penting badan pembuat dasar ITU, iaitu 193 negara anggota menggubal dasar-dasar awam Kesatuan, menerima pakai pelan strategik dan kewangan empat tahun; dan memilih pasukan pengurusan kanan organisasi, dan anggota Majlis.

Kenyataan dasar Malaysia dilihat sebagai gesaan kuat bagi tindakan itu dan masyarakat antarabangsa menyahut gesaan itu dan telah mengambil langkah positif untuk menetapkan standard antarabangsa bagi pemantauan data penerbangan secara tepat masa.

ITU telah menerima cadangan daripada empat dari lima rantaunya bagi tujuan itu.

Ahmad Shabery juga mengucapkan terima kasih kepada ITU kerana mengambil tindakan pantas terhadap gesaan Malaysia untuk bekerjasama dengan pakar-pakar industri untuk mencari kaedah bagi mewujudkan standard antarabangsa dalam pemantauan data penerbangan secara tepat masa.

Bersama-sama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Dialog Kumpulan Pakar diadakan di Kuala Lumpur pada Mei tahun ini.

Hasil dialog itu dijadikan asas untuk pakar ICT dan penerbangan merumuskan perkara itu.

"Malaysia meletakkan harapan tinggi pada persidangan ini; bahawa ia akan membantu kami untuk memastikan perjalanan udara akan lebih selamat kerana ICT, dan kerana kami menaruh kepercayaan kepada ITU, untuk membuat perubahan," kata Ahmad Shabery.