ALOR SETAR: Hasil pengeluaran durian di Kedah dijangka menurun antara 20 hingga 30 peratus berikutan keadaan cuaca panas melampau yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Ramli Abdul Rahman, berkata cuaca panas dan kemarau itu akan memberi kesan kepada pengeluaran durian yang dijangka pada hujung bulan depan.

"Tanaman durian ini unik sedikit, ia tidak memerlukan kuantiti air yang banyak tetapi sekiranya tiada air langsung, pucuk akan mati walaupun pokok itu sudah berpuluh-puluh tahun hidup. Kalau ikut, durian akan mula luruh Jun dan Julai ini tetapi secara berperingkat.

"Kebanyakan pengusaha durian berharap tiada masalah pengairan.. jika tidak ia akan memberi kesan kepada tanaman mereka.

"Hasil kajian, kita jangka pengeluaran durian menurun antara 20 hingga 30 peratus akibat cuaca panas ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Jabatan Pertanian Negeri Kedah, di sini, semalam.

Ramli berkata bagi mengatasi masalah pengairan kepada tanaman durian itu, pihaknya telah memperkenalkan beberapa jenis teknologi kepada pengusaha antaranya penggunaan air bawah tanah.

"Ada dua cara iaitu air permukaan atau air bawah tanah tetapi kalau cuaca panas macam sekarang, air permukaan pun kering. Kalau hendak buat cara air baah tanah pula, kosnya agak tinggi jadi ia bergantung kepada bajet pengusaha itu sendiri.

"Kita hanya boleh perkenalkan teknologi sahaja tetapi pelaksaannya pengusaha durian itu perlu laksanakan sendiri.

"Ada juga yang terpaksa menggunakan air dari Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana tiada sumber air yang lain, jadi mereka perlu membayar bil air yang agak tinggi," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata selain durian yang banyak ditanam di Padang Terap, Sik, Baling dan Bandar Baharu itu, beberapa jenis tanaman lain juga dijangka terjejas sekiranya cuaca panas melampau ini berterusan antaranya padi dan mangga Harum Manis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata berkaitan isu lambakan buah tembikai yang berlaku di Kedah, pihaknya telah pun berbincang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri bagi menyelesaikan masalah penjualan buah berkenaan.

"Saya difahamkan FAMA sudah mengambil buah-buah itu dari peniaga. Kalau sebelum ini, buah tembikai dijual dengan harga RM3.50 sekilo tetapi sekarang dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.50 sekilo.

Kalau ikut, ia masih memberi pulangan modal kepada peniaga tetapi keuntungan yang diperolehi menurun sedikit," katanya.

Baru-baru ini, Bernama melaporkan beberapa peniaga buah tembikai di Kedah mendakwa mengalami kerugian akibat lambakan buah itu selain keadaan cuaca panas yang menyebabkan tembikai yang disimpan menjadi cepat rosak.

-- BERNAMA