GEORGE TOWN:Seorang pengawal keselamatan warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town hari ini atas kesalahan  membunuh tukang masak, Sabtu lepas.

Ong Lai Seng, 65, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ong didakwa membunuh Chua Kok Seong, 42, di pondok pengawal, Blok 8, Desa May, Persiaran Paya Terubong pada jam 8.50 malam, 5 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, Ong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Teh Ee Teng.