Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 53 tahun, semalam.
"Mangsa ditawarkan kontrak membekalkan peralatan mengajar (projektor) bernilai RM150,000 daripada individu yang mengakui dirinya wakil daripada pejabat pendidikan menerusi Whatsapp pada 29 Nov lepas.
"Mangsa memberitahu suspek beliau tidak dapat membekalkan peralatan itu kerana syarikatnya hanya membekalkan alat tulis sahaja," katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Adnan berkata suspek telah memberikan kononnya nombor telefon sebuah syarikat pembekal untuk mangsa membuat tempahan dan mangsa membuat tiga transaksi dalam talian berjumlah RM98,550 ke sebuah akaun.
"Pada 10 Dis 2024 rakan mangsa telah berkongsi kepada mangsa satu hantaran di media sosial Facebook mengatakan syarikat pembekal yang mangsa telah berurusan tersebut adalah scammer yang menggunakan nama pejabat pendidikan untuk menipu mangsa," katanya.
-- BERNAMA