KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan 635 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun 2024 untuk menghalang mereka meninggalkan Malaysia selagi belum menjelaskan terlebih dahulu tunggakan caruman.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu diambil di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

"Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang.

"KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya," katanya.

Setakat Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP telah gagal membayar caruman pekerja mereka.

Bagi tempoh yang sama, seramai 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman.

"Dalam tempoh antara Januari dan Jun 2024, sebanyak 1,932 saman sivil telah difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka," katanya.

Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata kegagalan membayar caruman KWSP tepat pada masanya merupakan satu kesalahan serius.

"KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang ingkar termasuk tindakan sivil dan jenayah untuk melindungi hak pekerja," katanya.

Sehubungan itu, KWSP menasihati ahli menyemak akaun KWSP mereka secara berkala menerusi aplikasi KWSP i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan mereka dibayar dengan jumlah betul dan tepat pada masanya.

Sekiranya terdapat percanggahan, ahli harus menghubungi majikan mereka dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

-- BERNAMA