MELAKA: Seorang pengarah dan juga pengurus jualan sebuah syarikat swasta direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu berkaitan kerja pembekalan alatan sukan bernilai lebih RM78,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka memaklumkan perintah reman sehingga Sabtu itu, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

"Lelaki berusia 44 tahun tersebut didakwa mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada seorang akauntan di salah sebuah syarikat pembekalan bagi kerja-kerja pembekalan alatan sukan badminton berjumlah keseluruhan RM78,812.60.

"Bagaimanapun kerja pembekalan berkenaan tidak dilaksanakan dengan sempurna," menurut sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan.

Beliau berkata suspek ditahan 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA