TELUK INTAN: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis, atas empat pertuduhan termasuk mencederakan dua anggota polis dengan parang minggu lalu.

Tertuduh, Lok Yik Hoong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Koperal Detektif Mohd Rasyidi Che Ross, 42, dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong Melati 2 Taman Melati, Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak kira-kira  jam 5.40 petang, 1 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Lelaki itu turut didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 84.72 gram di lokasi, jam dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadahh Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau seumur hidup, dan boleh disebat sehingga 10 sebatan.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran selain tidak mengganggu mangsa.

Namun tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap duda itu bagi kesalahan memiliki dadah berbahaya dan mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Noor Aisyah Mat Isa, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata parang ke atas Inspektor Tie Ngie Sieng, 34, di lokasi, jam dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat, atau dengan mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Dalam prosiding sama, Yik Hoong juga didakwa menghalang seorang penjawat awam secara agresif dengan menjerit, mengamuk dan melibas parang kepada Asistan Superintenden Misran Osman bersama empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika mereka membuat serbuan di rumah tertuduh, di lokasi, jam dan tarikh sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd Talal, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.