KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menghina Islam di akaun Facebooknya, pada 17 Julai lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas Syaidinar Abu Bakar, 36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan Facebook secara sedar dengan memuat naik rakaman video berdurasi empat minit 13 saat yang jelik sifatnya dengan niat menghina Islam.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 532a Kampung Bagan Chekok, Pulau Chondong, di Machang, pada jam 6 petang 17 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry , manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman diringankan, namun Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira tertuduh menghina agama dan boleh mencetuskan ketidakamanan dalam masyarakat.

Pada masa sama, katanya ia boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak memandang ringan isu seperti itu.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000, dan jika dia gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara enam bulan lagi.