Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dakwaan membunuh seorang warga emas di perkarangan sebuah masjid di sini, kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh Mohd Afih Safiee, 32, dari Tanah Putih Baru di sini, sekadar mengangguk faham terhadap pertuduhan ke atasnya yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Raden Ambok Hassan, 70, antara pukul 3 hingga 4 pagi 11 Jan lalu di perkarangan Masjid Al-Khariah di Batu 7, Jalan Gambang-Kuantan di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Najwa memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan laporan mental memandangkan dia pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi masalah mental.

Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 21 Feb depan untuk tertuduh melantik peguam selain mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan mental tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique Selvarajah.

Mangsa yang berasal dari Indonesia dan memegang kad pengenalan merah meninggal dunia dipercayai akibat dilempar batu bersaiz besar oleh tertuduh.

Tertuduh difahamkan mengenali mangsa dengan panggilan 'Atok'.

-- BERNAMA