Seramai 1,300 perwakilan atau sering disebut Muktamirin akan menghadiri Muktamar PAS ke-59 pada 22 November depan, dengan misi penting demi masa depan parti Islam itu.

Di tangan 1,300 perwakilan itulah akan diketahui sama ada PAS akan berubah wajah kepimpinannya atau mereka memilih untuk mengekalkan barisan kepimpinan sedia ada.

PAS, sebuah parti yang dahulunya dikenali dengan imej Pondok, Padi dan Pak Lebai, menjadi parti harapan bersama sekutunya mereka Parti Keadilan Rakyat dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Pemilihan pimpinan PAS untuk sesi 2013-2015 ini akan menentukan halatuju parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Apakah kecemerlangan yang diperolehi bersama Pakatan Rakyat akan diteruskan atau perwakilan akan memilih pemimpin baru yang akan menukar haluan PAS yang selama ini dilihat sudah semakin mantap bersama DAP dan PKR untuk berjuang bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain.

Penganalisis dan penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar berpendapat, muktamar kali ini penting kerana semua pihak akan memerhatikannya termasuk dari musuhnya UMNO. Katanya, persiapan menjelang PRU14 perlu ditentukan dalam muktamar kali ini.

Sebagai sebuah parti yang menyertai sistem demokrasi, PAS tidak boleh menafikan bahawa penyertaan mereka

"Persiapan dalam yang perlu PAS ambilkan dalam Muktamar kali ini ialah untuk menyediakan barisan pemimpin yang mantap menjelang PRU14.

"Elok bagi PAS, awal-awal lagi menyiapkan barisan yang khusus untuk memantapkan organisasi partinya yang khusus untuk menghadapi pilihan raya.

"PAS tidak boleh menafikan penyertaannya dalam politik kerana ia boleh merealisasikan cita-cita untuk mereka untuk memerintah," katanya dalam satu temubual khas bersama Astro AWANI.



Katanya, perwakilan perlu bertanya pada diri sendiri ke mana mahu mereka bawa PAS, sama ada mahu menjadikan sebuah parti politik yang aktif dalam sistem demokrasi atau hanya menjadi sebuah pertubuhan dakwah yang tidak mengharapkan kuasa.

Mohd Sayuti menegaskan jika perwakilan mahu menjadikan PAS sebuah parti politik sepertimana yang ada sekarang, mereka perlu memilih pemimpin yang bijak memahami percaturan politik.

"Apa yang perlu yang perwakilan PAS memahami ialah kemanakah mereka mahu pacakkan PAS itu sebagai sebuah parti politik? Ke mana halatuju PAS yang mereka mahukan?

"Apakah mereka mahu jadikan PAS sebuah parti politik yang menyertai pilihan raya atau mereka mahu menjadikan PAS sebuah badan dakwah yang tidak mahukan kuasa untuk memerintah.

"Itu tandatanya utama kepada perwakilan PAS kali ini, ke mana mereka mahu bawa parti Islam ini, mereka mahu PAS jadi apa?" katanya.



Sementara itu mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS kini mengikut telunjuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Sayuti menegaskan bahawa pendapat begitu lahir dari mereka yang tidak matang dalam politik.

Katanya, ahli dan perwakilan perlu melihat bahawa faktor PAS dan Anwar saling memerlukan dalam usaha untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya.

Beliau menjelaskan sepatutnya isu pengaruh Anwar dalam PAS tidak timbul kerana kerjasama yang dijalankan bersama Pakatan Rakyat sudah terbukti keberkesanananya.

"Bukan bermakna kalau kita mengambil Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan beliau bukan bermakna kita tunduk kepadanya.

"Sepatutnya kita tak berfikir begitu kerana ia satu kesilapan, kalau dikatakan Anwar menggunakan PAS, maka PAS juga boleh menggunakan pengaruh Anwar untuk mencapai cita-citanya," katanya lagi.



Mohd Sayuti juga mengingatkan ahli dan perwakilan PAS tentang permainan licik musuh-musuh mereka dalam usaha untuk memecahbelah dan melemahkan parti itu.

Katanya, musuh-musuh PAS menggunakan apa sahaja termasuk media untuk memastikan PAS berpecah belah dan seterusnya menghancurkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"PAS kini sudah sebuah parti yang besar sebab itu ia menjadi tumpuan dari semua pihak termasuk media dan juga mereka yang taksub dengan UMNO.

"Mereka yang percaya hanya UMNO adalah yang terbaik akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan PAS berpecah," katanya.



Pemilihan PAS akan didakan ketika Muktamar PAS ke 59 yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 November nanti di Shah Alam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diisytiharkan menang tanpa bertanding manakala untuk jawatan Timbalan Presiden, pertandingan satu lawan satu bakal disaksikan antara penyandangnya, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, datuk Mohd Amar Nik Abdullah.