Datuk Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang juga bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengisytiharkan keluar daripada PAS hari ini.

Menurutnya, persekitaran "perjuangan" yang tidak kondusif dalam PAS kini menjadi punca beliau keluar daripada parti Islam itu.

"Saya rasa pucuk pimpinan PAS tidak mempunyai hala tuju yang jitu dan keazaman untuk memperkuatkan parti selepas muktamar tersebut," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Beliau merujuk kepada keputusan pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-61, Jun lalu yang menyaksikan beberapa ikon pemimpin "progresif" parti itu kalah dalam pemilihan.

Bagi Tengku Ibrahim kekalahan pemimpin "progresif" berkenaan kini menyebabkan parti semakin lemah.

Malah beliau percaya, keadaan dalam parti kini bertambah keruh apabila hubungan antara kumpulan ulama dan kumpulan "progresif" yang tersingkir kini menjadi kucar-kacir.

Tengku Ibrahim mula menyertai PAS pada 7 Oktober 2012 setelah menyerahkan sendiri borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Besut.

Tengku Ibrahim merupakan anakanda ketiga Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Zainal Abidin dan pernah menjadi Pengerusi Perhubungan Parti Melayu Semangat 46 .

Beliau dipilih menjadi ADUN Tanggol pada 1990 setelah memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-lapan.