Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada perwakilan dalam muktamar untuk membuat keputusan berhubung usul memutuskan kerjasama dengan DAP.

"Itu belum lagi satu keputusan muktamar. PAS belum lagi memilih siapa-siapa. Hanya usul sahaja belum lagi dibahas.

"Saya serah kepada perwakilan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Diminta mengulas usul yang dicadangkan oleh Dewan Ulama itu, Hadi hanya menjawab ringkas.

BACA:
PAS tidak pernah campur tangan urusan parti lain - Hadi

Pro ulama menang besar dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS
Muktamar penentu halatuju PAS


"Itu demokrasi dalam PAS," ujar beliau.

Semalam, Dewan Ulama meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Bagaimanapun, usul tersebut akan mula dibahaskan esok.

Sementara itu, mengulas ketidakhadiran wakil DAP pada perasmian muktamar hari ini, Hadi berkata perkara itu merupakan keputusan parti tersebut.

"Itu kena tanya DAP, jangan tanya saya.

“Kita jemput semua hadir untuk muktamar kita untuk memeriahkan muktamar. (Wakil) daripada PKR datang, perwakilan asing datang," katanya lagi.

Hadi turut mengulas saranan Dewan Muslimat supaya beliau dan pemimpin DAP Lim Kit Siang mengetepikan ego masing-masing dan berbincang bagi menjernihkan hubungan dalam Pakatan.

"Hal peribadi perlu selesai secara peribadi," katanya.

GAMBAR:
Muktamar Pemuda PAS ke-56