KUCHING: Pengambilan tanah oleh kerajaan Sarawak untuk pelaksanaan projek pembangunan awam harus melibatkan pampasan sewajarnya, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata semua tanah yang diambil akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian sewajarnya dari Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dengan mengambil kira jenis tanaman, struktur binaan sekiranya ada dan saiz tanah terlibat mengikut nilai semasa.

"(Nilai) Pampasan itu haruslah yang sewajarnya, ini adalah selari dengan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu antara lainnya menyebut tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

"Tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi," katanya semasa berucap di majlis penyampaian cek pampasan tanah bagi projek kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 70 pemilik tanah di tapak projek pembinaan Depot ART Sungai Batu, Santubong menerima pampasan berjumlah RM23,425,726.90 bagi pengambilan balik tanah-tanah mereka yang keseluruhannya berkeluasan lebih kurang 456,500 meter persegi atau 45.72 hektar.

-- BERNAMA