TAWAU: Seorang pengamal perubatan kerugian RM747,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam apabila menerima panggilan palsu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Taktik sindiket kali ini dikatakan melakukan penipuan menggunakan teknik 'spoofing' iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan Internet ketika membuat panggilan melalui internet (VOIP).

Mangsa berusia 30-an pada awalnya menerima panggilan telefon daripada KKM yang mengatakan nama mangsa digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain, pada 27 Januari lalu.

Ketika itu, mangsa berasa sangsi dengan panggilan telefon berkenaan, namun sindiket itu kemudiannya menggunakan taktik penyamaran sebagai polis bagi menyakinkan lagi mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, individu yang menyamar sebagai polis itu mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Katanya, mangsa kemudiannya dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian.

“Semua maklumat berkenaan perlu diberikan kerana kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Percaya kepada helah berkenaan, mangsa kemudiannya membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada akaun milik individu terbabit berjumlah RM747,000,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Jasmin berkata, mangsa akhirnya menyedari tertipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Tawau, pada 18 Mac lalu.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dengan kegiatan sindiket Macau Scam.

Katanya, orang ramai juga diingatkan bahawa dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan yang sama.

“Masyarakat juga dinasihati untuk memuat naik aplikasi 'Semak Mule CCID' untuk membuat semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan,” katanya.