Orang ramai yang membanjiri Dataran Bandar Sibu Fasa 1 untuk menyaksikan acara terjun Sibu BASE Jump 2017 gempar apabila seorang penerjun tersasar dari kawasan pendaratan ketika melakukan terjunan tengah hari tadi.

Ben Gingold, 25, dari United Kingdom itu mendarat di atas bumbung laluan pejalan kaki berhampiran Wisma Sanyan setinggi 126 meter yang menjadi platform bagi acara terjun itu.

Mangsa yang mengalami luka di tangan kanan diturunkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam sambil dibantu penerjun yang lain.

Dia kemudiannya dibawa ke sebuah bilik rawatan khas di situ sebelum dihantar ke Hospital Sibu.

Acara itu sempena Tahun Melawat Sibu 2017 dianjurkan Kumpulan Petugas Pelancongan Bahagian Sibu dengan penyertaan 90 penerjun dari luar dan dalam negara.

Dalam terjunan ujian Jumaat lalu, penerjun Australia, Gary Favre, 42, cedera pada kaki dan pahanya selepas beliau melanggar dan tersangkut pada tingkap kaca Tingkat 15 Wisma Sanyan.

Semalam pula penerjun Kanada, Braden Dean, 31, mengalami sakit belakang apabila mendarat di dataran tersebut.

-- BERNAMA