NEW DELHI: Sebuah pesawat IndiGo yang dalam penerbangan dari Mumbai, India ke Phuket, Thailand terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang akibat cuaca buruk pada Jumaat.

Pesawat A320 itu berada di Pulau Pinang selama kira-kira empat jam sebelum berlepas semula ke Thailand sekitar pukul 3 petang waktu Malaysia, menurut laporan media India.

Penerbangan 6E 1701, yang dijadualkan mendarat di Phuket pada pukul 10.30 pagi, terpaksa mendarat di Pulau Pinang pada sekitar pukul 11 pagi.

Penumpang telah "dimaklumkan sepenuhnya mengenai perubahan laluan yang tidak dijangka" dan diberi sajian ringan untuk keselesaan mereka, menurut satu laporan yang memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.

-- BERNAMA