IPOH: Lebih 200 penduduk Taman Sri Wani, Jelapang di sini melahirkan rasa tidak puas hati dengan permasalahan yang berpunca dari sebuah tapak projek pembinaan, sehingga menyebabkan kejadian banjir lumpur menghantui hidup mereka sejak tiga tahun lalu.

Menurut wakil penduduk, Abdul Rahman Hashim, 65, siri kejadian air berlumpur yang masuk ke dalam kediaman mereka menyebabkan banyak kerosakan harta benda, malah tiada pihak tampil bertanggungjawab menawarkan sebarang pampasan atau ganti rugi.

Ujarnya, banjir itu turut menyebabkan saluran pembetungan tersumbat dan melimpah keluar, seterusnya menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.

"Air berlumpur masuk ke kediaman, longkang dan lima jalan iaitu Persiaran Jelapang 12a, 12b, 19a, 19b dan 23.

"Keadaan rumah itu lebih teruk bagi mereka yang tinggal berdekatan bukit, kerana air lumpur akibat projek pembangunan taman perumahan itu menyebabkan rumah dan jalan di situ berselut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membincangkan permasalahan itu di sini pada Rabu.

Astro AWANI

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian dan beberapa orang penduduk taman tersebut.

Sementara itu seorang lagi penduduk, K. Raja, 64, berkata masalah itu timbul selepas wujudnya projek pembangunan taman perumahan pada tahun 2018.

"Sebelum ini semua cantik, tiada masalah tetapi secara tiba-tiba kami perlu hadapi masalah ini sedangkan sudah ramai pihak kami jumpa termasuk perbincangan dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Sampai bila kami perlu hadap masalah ini? Lebih-lebih lagi bila hujan yang menyebabkan banjir dan selut di kawasan rumah dan jalan," katanya.

Astro AWANI

Sementara itu, ADUN Jelapang, Pou Hian menjelaskan pihaknya telah mendapatkan maklum balas MBI mengenai perkara itu.

Dia turut berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Astro AWANI

"Walaupun arahan berhenti (projek) sudah dikeluarkan pada Jun 2018, namun masalah itu tetap berlaku setiap kali hujan.

"Pengarah Kejuruteraan MBI telah menjemput saya ke tapak pada 28 Mac lalu dan mendapati pihak pemaju masih belum membina cerun, benteng dinding penahan, sistem perparitan serta jajaran keluar parit yang sempurna.

"Mengapa pemaju tidak memenuhi syarat dan mengikut arahan berhenti kerja? Mereka masih meneruskan projek pembinaan sehingga kini walaupun sudah dua kali dikeluarkan arahan berhenti kerja oleh MBI," katanya.

Dia turut memohon agar kerajaan negeri mengkaji semula sama ada semua syarat projek pembangunan telah dipenuhi.

Katanya, sekiranya tidak, ia perlu dihentikan sehingga benar-benar mengikut syarat yang ditetapkan.

Astro AWANI