KUALA KRAI: Beberapa penduduk di Kampung Tualang dan Kampung Batu Mengkebang di sini meluahkan rasa bimbang apabila ada beberapa tiang elektrik di kawasan sekitarnya kelihatan senget dan seakan-akan mahu tumbang, selain ada kabel yang sudah kendur.

Penduduk Kampung Tualang Che Romah Sapain, 68, berkata struktur tiang yang senget itu bukan sahaja membahayakan penduduk di kawasan berdekatan malah boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

"Ada beberapa tiang elektrik yang dekat dengan rumah dan jalan raya kelihatan macam dah nak tumbang. Kalau pihak Tenaga Nasional (TNB) tidak datang pantau dan betulkan tiang ini ia amat bahaya untuk penduduk di kawasan sekitar," katanya.

Bagi Abdullah Deris, 65, yang menetap di Kampung Hujung Tanjung, beliau berpendapat TNB perlu mengalihkan tiang berkenaan, atau memastikan kabel elektrik yang berdekatan dengan sungai tidak memberi sebarang masalah kepada penduduk setempat," katanya.

"Ada juga kabel elektrik yang didirikan berhampiran sungai kelihatan kendur, jadi ia sangat bahaya kerana jika paras air naik dan terkena kabel terbabit, pasti akan berbahaya terutama kepada penduduk yang menggunakan perahu untuk memukat ikan.

Sementara itu Siti Faezah Manaf, 32, dari Kampung Batu Mengkebang pula berharap pihak TNB dapat memeriksa pencawang elektrik dan kabel sepanjang jalan untuk ke kampungnya bagi memastikan ia tidak membahayakan penduduk yang melalui laluan berkenaan.

"Kadang-kadang kita tengok pun gerun dengan kabel yang kendur, pencawang elektrik yang senget sebab kita tidak mahu apabila berlaku perkara tidak diingini baru nak ambil tindakan," katanya.

-- BERNAMA