Pembekalan elektrik hijau merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura yang julung kali diadakan ini adalah hasil daripada pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lalu.
Perkara itu dicapai menerusi satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu atau Renewable Energy Supply Agreement (RESA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sembcorp Power Pte Ltd (Sembcorp Power) yang disaksikan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini.
"ENEGEM ini membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan kompetitif.
"TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara," menurut kenyataan yang dikeluarkan PETRA hari ini.
Bidaan menerusi ENEGEM adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu atau Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy Scheme (CBES RE) yang akan dilaksanakan secara berfasa dengan jumlah kapasiti sehingga 300MW, menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara Malaysia dan Singapura.
Pelaksanaan CBES RE ini adalah selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN atau ASEAN Power Grid, yang merupakan salah satu agenda utama negara untuk Kepengerusian ASEAN - Malaysia pada 2025.