Pesara anggota polis, Othman Ibrahim berkata, situasi kali ini dilihat luar biasa apabila paras air naik hingga ke dada.
“Kali ini lebih luar biasa, paras air naik sampai ke dada. Saya harap hujan tidak lebat harini. Jadi paras air tak terus naik.
“Semoga pihak Kerajaan negeri lakukan sesuatu dan bantu mangsa terjejas. Hujan pula masih belum berhenti setakat ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, pengunjung di Rantau Panjang, Fara Azeerin Abdul Karim yang berkunjung ke sini sejak dua hari lalu terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke Kuala Berang selepas kawasan dinaiki air.
“Saya dan keluarga datang ke sini sempena cuti sekolah dan melawat saudara mara.
“Semalam kami sepatutnya pulang ke Kuala Berang dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Berkongsi beberapa keping gambar situasi banjir, Fara berharap paras air banjir surut pada hari ini memandangkan risau dengan keselamatan mereka sekeluarga.
“Kereta boleh cari baru, tetapi nyawa kami sekeluarga lebih utama. Sebab itu kami rela duduk sementara di sini. Harapan saya, air akan surut hari ini. Boleh kami pulang secepat mungkin,” katanya.