SETIU: Penduduk menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera tangani masalah benteng Empangan Low Wei di Sungai Guntung, Setiu yang runtuh akibat banjir awal Disember lalu.

Menurut Yahaya Ahmad, 54, runtuhan itu berlaku apabila benteng empangan berkenaan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak dan aliran deras yang datang dari tiga batang sungai di kawasan berdekatan ketika musim hujan.

Jelasnya, kerosakan benteng tersebut telah menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kebun-kebun berhampiran dan mengakibatkan berlakunya hakisan di tebing sungai kira-kira seluas 20 meter.

Selain itu, ia turut menjejaskan tanaman dan merosakkan laluan yang digunakan mereka untuk membawa keluar hasil kebun.

"Sekarang ini kalaulah kata air banjir sekali lagi, maknanya mungkin tanah kawasan ni habislah.

"Ini baru sekali, bila mungkin kali yang kedua, kali yang ketiga mungkin banjir mari lagi," katanya.

Yahaya turut menyarankan agar pihak berkenaan mengkaji dan mengubah kembali rekabentuk benteng itu mengikut kesesuaian agar perkara sama tidak berulang.

"Konkrit itu tidak boleh matikan, biar boleh dibuka dan ditutup.

"Apabila musim kemarau, ia boleh tutup untuk aliran air ke kampung, tetapi bila musim tengkujuh macam ini, dibuka. Apabila dibuat konkrit tutup habis, itu jadi cari laluan lain, dengan benteng habis hancur," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, azman ibrahim berkata pihaknya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu untuk mengemukakan laporan lengkap berkaitan kegagalan rekabentuk dan struktur empangan yang baru setahun dibina itu.

Beliau juga meminta tindakan pelan penyelesaian segera diambil bagi mengatasi masalah itu yang turut menjejaskan kira-kira 200 hektar tanaman padi di Kampung Che Mohid, Setiu ekoran bekalan air tidak dapat disalurkan ke petak sawah.