IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi tumpuan kepada kes beliau termasuk menjawab segala pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

"Peguam Negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah jawab... apa lagi dia nak kata.

"Bagi saya dia (perlu) tumpu kes mahkamah, jawab di mahkamah... pertuduhan pun sudah dikeluarkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Pada Jumaat, Muhyiddin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah dibuat oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam pada itu mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak campur tangan dalam perkara tersebut.