KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan pendaftaran dalam Pangkalan Data Utama (PADU) telah mencapai 1 juta pengguna setakat awal pagi, pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran pengguna itu termasuk golongan yang berumur bawah 18 tahun.

"Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar.

"Saya mohon kerjasama bantuan rakyat untuk mendaftar melalui http://padu.gov.my dan membantu ibu bapa, keluarga dan jiran yang kurang mahir digital.

"Jika ada keluarga miskin di sekeling kita, mohon bantu untuk daftarkan mereka," katanya dalam laman sosial X, pada Selasa.


Mengulas lanjut, Rafizi berkata, seluruh jentera kerajaan turun membantu bagi memastikan risiko keciciran pendaftaran PADU dapat diminimakan bagi melaksanakan subsidi bersasar.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data menerusi portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.