Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak pernah mengeluarkan kenyataan pembahagian kategori golongan usia, seperti yang tersebar di laman sosial sejak semalam.

Menerusi InstaStory, Syed Saddiq memuat naik penafian berkenaan hal tersebut, sebelum kumpulan komunikasi dan penyokongnya yang dikenali sebagai Team Saddiq di Twitter, membuat perkara sama.

"Pihak kami amat kesal dengan tindakan segelintir pihak dalam menyampai serta menyebarkan kenyataan palsu itu.

"Tindakan ini dianggap sebagai niat untuk menjejaskan imej Syed Saddiq.

"Selidik dahulu untuk kepastian!" tulis entri tersebut.


Semalam satu entri mendakwa Ahli Parlimen Muar mengeluarkan kenyataan yang meletakkan golongan berusia 31 tahun ke atas sebagai warga emas, tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen.