Seorang pemuda ditemui mati dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik di rumah neneknya di Kampung Pinang Merah, Paka,Terengganu pagi tadi.

Muhamad Hafizudin Abdul Aziz, 22 ditemui kira-kira jam 9.30 pagi oleh sepupunya yang berusia lapan tahun dan kemudian memaklumkan perkara itu kepada bapanya.

Pada mulanya, bapa kanak kanak berkenaan berusia 40an, yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian enggan mempercayainya.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali diceritakan anaknya, beliau bersama isterinya kemudiannya bergegas ke rumah terbabit.

Mereka terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di dalam biliknya.

Bapa saudara mangsa kemudianya membuat laporan di Balai Polis Paka .

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, polis menjalankan siasatan samada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

Jenazah mangsa dibawa ke bilik forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut .

Polis kemudianya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyior, Paka, Terengganu.