KUALA LUMPUR: Anak-anak muda ini datang dari seluruh pelosok dunia dan walaupun tidak banyak yang mereka tahu tentang negara ini, Malaysia masih menjadi pilihan untuk menimba ilmu atau melancong, akhirnya 'jatuh cinta'.

Antaranya adalah pempengaruh TikToker dan YouTuber yang mempunyai ratusan ribu pengikut di pelbagai platform media sosial dan pandangan peribadi mereka tentang negara ini menjadikan Malaysia menjadi lebih popular dalam kalangan pelancong muda.

Gambaran mereka tentang Malaysia ternyata jauh lebih baik daripada apa yang dikongsi warga asing lain dan pengalaman peribadi pempengaruh ini kesudahannya membuatkan ramai yang jatuh cinta dengan layanan mesra yang mereka terima.

Turut menambat hati mereka ialah kehidupan penuh harmoni yang mereka perhatikan dalam kalangan masyarakat negara ini yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya.

Berasal dari Scotland, TikToker dan YouTuber Alana Dunsmore, 23, adalah antara anak muda warga asing memilih untuk merantau ke Malaysia dan menemui "cinta hatinya di sini."

BACA: Abbas bawa Al-Quran pada pertemuan pertama dengan Alana

Dia yang mempunyai hampir 140,000 pengikut di TikTok dan 133,000 pelanggan di YouTube, berkongsi dalam satu paparan videonya mengenai pengalaman peribadinya dengan seorang rakyat Malaysia yang mengingatkannya agar berhati-hati dengan barang miliknya apabila berada di jalanan. Insiden itu berlaku pada 3 Disember 2022.

Di paparan video yang disiar pada 4 Disember 2022, Alana berkata, "Semalam saya berada di Bukit Bintang (Kuala Lumpur), di luar Giant Sungai Wang, dan seorang lelaki menghampiri saya dan kawan saya, pada mulanya saya berasa pelik. Apa ni?

"...kemudian lelaki itu berkata, 'Hi, minta maaf ya, tapi boleh tak awak berhati-hati dengan kamera awak?' kerana masa itu saya sibuk blogging, sungguh baik hati dia datang dan ingatkan saya," katanya ketika mengimbau kembali peristiwa itu.



BUDAYA TEMPATAN

Alana yang mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa aktif vlogging sejak Oktober 2022. Dia yang hanya tahu sedikit mengenai Malaysia datang ke negara ini pada tahun 2019 untuk menyertai program pertukaran pelajar di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK). Di Universiti itu juga dia mengambil kursus Pengajian Islam.

Namun kini dia sudah betah dengan kehidupan di Malaysia dan kagum dengan masyarakat di negara ini yang kaya dengan kebudayaan masing-masing di samping pelbagai jenis makanan yang sungguh menyelerakan.

Datang ke Malaysia juga pilihan terbaik, katanya, untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat yang berbilang budaya.

Dalam beberapa videonya, yang menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial, setiap kali datang ke negara ini, Alana membawa ibu serta sepupunya menikmati pelbagai makanan popular Malaysia seperti cendol, nasi kandar, pisang goreng dan jalebi iaitu sejenis pencuci mulut India.

Alana turut berkongsi antara adat tempatan iaitu membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah di samping menggunakan tangan untuk menarik perhatian pemandu kenderaan agar berhenti sebelum dia menyeberang jalan. Cara itu, katanya, amat berkesan dan memudahkan dia menyeberangi jalan yang banyak kenderaan.

"Tinggal di Malaysia juga mengajar saya untuk beratur apabila hendak membeli makanan, berbanding di United Kingdom (UK), kami tidak pernah beratur. Jika tempat tu penuh, kita beredar ke tempat lain. Tapi di Malaysia, lainlah sikit.

"Di sini juga biasa untuk panggil seseorang wanita dan lelaki yang berumur tu makcik dan pakcik, walaupun mereka tidak ada ikatan. Bagi saya, cara itu menambah kemesraan, seolah-olah anda kenal orang itu. Lagi satu, menjadi juga amalan untuk kita menundukkan kepala apabila menegur sapa seseorang, sebagai tanda hormat. Bagi saya, ini amat bagus kalau diamalkan di UK," tambahnya.

Sepanjang lima tahun tinggal di Malaysia, Alana banyak berkongsi videonya meninjau pelbagai budaya di negara ini dan turut memberitahu pengikutnya bagaimana dia tertarik kepada budaya Melayu dan agama Islam.

Pada November 2023, Alana membuat keputusan memeluk agama Islam. Ini kata-kata yang diungkapkannya "Untuk mereka yang mahu memeluk agama Islam, saya nasihatkan anda berbincang dengan rakan Muslim anda tentang agama Islam dan anda pasti akan mendapat banyak penjelasan, yang sukar untuk anda perolehi di negara Barat, yang mungkin mahu mempengaruhi anda supaya tidak melakukannya."

Alana turut berkongsi berita gembira bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka tempatan, Abbas Mahmood dan merancang menetap di Kuala Lumpur.


BOLEH MAMPU

Sekiranya Alana amat seronok menikmati makanan serta layanan mesra masyarakat di Malaysia, blogger dan TikToker Lilith yang berasal dari Arizona, Amerika Syarikat, mempunyai sebab yang unik yang membuatkan dia jatuh cinta dengan Malaysia dan ini dikongsi dengan 116,300 pengikut TikToknya.

Menerusi akaun TikToknya @lilithink, Lilith berkata, berdasarkan pemerhatiannya sebagai bekas pelajar di Malaysia, negara ini menawarkan kos sara hidup yang rendah yang mana perbelanjaan untuk tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan hiburan secara umumnya lebih daripada boleh mampu. Ini menjadikan Malaysia pilihan yang baik daripada segi kos, berbanding destinasi tempat pengajian lain.

Bukan itu sahaja, katanya, bahasa Inggeris juga dituturkan secara meluas di Malaysia, membuatkan mudah untuk orang asing termasuk pelajar antarabangsa menyesuaikan diri dengan gaya hidup tempatan.

Dia juga turut menyatakan kekagumannya dengan pelbagai pilihan buah-buahan eksotik tempatan seperti duku dan manggis dan terpegun juga mendengar masyarakat tempatan bercakap dengan pelbagai slanga.

"Saya suka slanga anda. Lah, mah, weh...seronok sungguh. Harap anda tak kisah saya gunakan slanga tu!" kata Lilith, seperti dipetik berkata dalam salah satu videonya. Dia menambah pertama kali berpindah ke Malaysia empat tahun lalu untuk mengikuti pengajian Sains Psikologi, dia berasa begitu terpinggir kerana tidak faham apa yang dituturkan oleh orang di sekelilingnya.

Pada kebanyakan masa, Lilith tinggal di Kuala Lumpur tetapi dia juga seronok menjelajah tempat lain di Malaysia, seperti Melaka dan Langkawi (Kedah), jika masa mengizinkan. Kandungan filem yang dikumpul setakat ini terdiri daripada 473 filem pendek yang mengumpulkan lebih daripada 3.6 juta likes dan 7.6 juta views, ketika artikel ini ditulis.



DATANG UNTUK BERAYA

Jika pempengaruh lain sibuk berkongsi pengalaman indah mereka di Malaysia termasuk makanan yang sedap dan layanan mesra yang diterima, TikToker Victoria Seergeva, 23, yang berasal dari Belarus dan mempunyai seramai 48,100 pengikut pula kagum dengan sambutan hari raya di negara ini yang disifatkannya begitu meriah.

"Saya dan teman lelaki saya, Iklyl Sari datang ke negara ini tahun lepas (2023) dan tinggal di negara ini selama hampir tiga bulan. Kami datang khusus untuk menyaksikan sendiri bagaimana hari raya disambut di Malaysia. Apa yang mengkagumkan kami ialah apabila pergi ke pusat membeli belah, setiap penjuru ada hiasan hari raya. Datanglah ke sini dan saksikan sendiri keindahan serta kemeriahan hari raya di Malaysia," kata beliau dalam video yang disiar di TikTok pada 3 Mei, 2023.

Dalam satu lagi video yang menjadi tular dan menerima 3.8 juta views, dan videonya yang paling ditonton, ialah masalah yang terpaksa dihadapi Victoria sepanjang berada di Malaysia, antaranya sakit perut akibat makanan yang pedas, selaran matahari kerana cuaca yang panas dan alahan aakibat gigitan nyamuk.

"Bagaimnapun, kesemua 'masalah' ini tidak langsung membuatkan saya berpandangan buruk tentang Malaysia. Saya gembira berada di sini dan Malaysia adalah sebuah negara yang unggul," katanya.

Victoria sering menjelajah ke negara di seluruh dunia bersama teman lelakinya, Iklyl, seorang juru gambar dan pengarah filem dari New York, Amerika Syarikat. Kunjungan ke Malaysia tahun lepas adalah kunjungan Victoria yang ke-3. Kali pertama dia datang ke negara ini pada tahun 2019. Banyak tempat sudah mereka kunjungi termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Ipoh, Sabah dan Kuala Terengganu. Setakat ini dia belum merancang bila akan ke Malaysia lagi.


-- BERNAMA