NILAI: Pemimpin pendidikan perlu lebih efisien dalam menangani cabaran transformasi teknologi digital bagi memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing, kata Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.

Beliau berkata pemimpin pendidikan yang terdiri daripada pengetua dan guru besar (PGB) tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata sebaliknya perlu merangka strategi baharu yang berasaskan teknologi digital seiring perkembangan dunia hari ini khususnya dalam pendidikan.

"PGB perlu menjadi teladan yang baik dalam penggunaan teknologi digital. Kita perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membudayakan penggunaan teknologi dalam kalangan warga pendidik," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki (IAB) ke-23 di Universiti Sains Islam Malaysia di sini pada Sabtu.

Majlis itu meraikan 1,375 graduan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang terdiri daripada 685 graduan ambilan 2022 dan 690 graduan ambilan 2023.

Azman berkata PGB perlu memiliki visi jelas dan berani mengambil langkah-langkah transformatif selain menjadi ejen perubahan yang mendorong inovasi serta kreativiti dalam kalangan warga pendidik.


"Saya ingin menekankan bahawa peranan pemimpin pendidikan dalam era digital ini amat penting. Kita perlu menjadi pemacu kepada transformasi digital dalam sistem pendidikan kita. Hanya dengan cara ini, kita dapat melahirkan generasi yang benar-benar bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.

"Senario paling ketara ialah apabila kita berhadapan dengan kepentingan untuk mempraktikkan gaya kepimpinan digital agar dapat bergerak sepantas arus perubahan kini. Tahap kompetensi kepimpinan pendidikan perlu dipertingkat melalui pembudayaan ilmu secara kendiri," katanya.

Selain itu, Azman berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Dasar Pendidikan Digital komited dalam memastikan warga pendidik menjadi kompeten digital bagi melahirkan murid yang fasih digital.

Beliau berkata program NPQEL, yang menjadi antara inisiatif KPM bagi melatih bakal pemimpin sekolah, dapat memastikan warga pendidik memacu pendidikan digital dalam ekosistem sekolah masing-masing.

"Kita mengharapkan semua pengetua dan guru besar di seluruh negara yang jumlahnya seramai 10,235 orang juga mempunyai daya wawasan kepimpinan digital," katanya.

Penerima Anugerah Graduan Cemerlang NPQEL kategori sekolah menengah bagi tahun 2022 Junaidah Kamarudin pula berkata latihan selama 10 bulan itu membantu beliau membina keyakinan diri untuk menjadi seorang pengetua sekolah yang berkaliber.

"Dalam tempoh program tersebut, pendedahan telah diberikan dari segi pelbagai kompetensi untuk menjadi seorang pemimpin di sekolah dan insya-Allah, saya akan gunakan semua ilmu yang dipelajari untuk mentadbir sekolah di mana saya kini bertugas," kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Remis itu.

Senada dengan beliau, penerima Anugerah Graduan Cemerlang NPQEL kategori sekolah menengah bagi tahun 2023 Janggil Apak berpendapat program itu membantu mengukuhkan ilmu pengetahuan dan keyakinan diri.

"Di peringkat awal, dari segi tahap keyakinan memang sangat rendah tetapi apabila kita sudah menghampiri bulan kesepuluh, tahap keyakinan semakin tinggi dan sekarang, kalau diberi peluang untuk menjadi pengetua di mana-mana sekolah, kita sudah bersedia," katanya yang kini bertugas di Sabah.

NPQEL adalah kursus bagi melatih kumpulan pemimpin pelapis yang sudah melepasi proses taksiran khas oleh IAB.

Ia juga satu inisiatif kepimpinan dalam Anjakan Kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi di sekolah.

-- BERNAMA