Laporan awal memetik Timbalan Ketua Polis Selangor menafikan insiden berunsurkan terorisme militan. Namun beberapa hari kemudian Ketua Polis Negara sendiri memaklumkan serangan tersebut ankara militan Daish.
Sejarah tercipta dan pertama kalinya Daish dipercayai berjaya menyerang di bumi Malaysia.
Lebih membimbangkan lagi suspek yang disyaki terlibat adalah rakyat Malaysia, termasuk dua orang anggota polis dan seorang lagi warganegara yang dikatakan memberi arahan dari Syria.
Bom tangan yang digunakan pula disyaki diseludup masuk dari Thailand.
Hakikatnya, Malaysia tewas.
BACA: Penyerang bom di Puchong diburu hingga selatan Thai
BACA: Serangan Daish di Puchong: Dua lelaki mengaku salah lontar bom tangan
Walaupun terkejut dengan berita ini namun ia agak dijangka. Pada awal tahun 2015, media New York Times menerbit sebuah video tentang Mohd Lotfi Ariffin, seorang rakyat Malaysia yang mendukung fahaman Daish sehingga sanggup pergi “berjihad” di Syria.
Keluarga dan komunitinya di Malaysia pula bukan setakat empati malah menjunjung perjuangannya.
Kini kita tahu bahawa Mohd Lotfi bukan satu-satunya rakyat Malaysia yang mendokong perjuangan Daish. Malah antara mereka termasuk perempuan dan anak muda.
Tahun lalu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang belajar di sebuah sekolah agama di Shah Alam ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki menuju ke Syria untuk menyertai pergerakan Daish.
Remaja perempuan tersebut dikatakan dalam perjalanan ke Mesir untuk berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia di sana sebelum mereka memasuki Syria.
Apakah perkembangan ini tidak merunsingkan kita, tambah lagi dengan serangan di kafe Movida? Pernahkah kita tertanya mengapa rakyat negara aman seperti Malaysia, khususnya yang beragama Islam, tertarik untuk menjadi pengganas Daish?
Malaysia bukan sebuah negara di mana masyarakat Muslimnya golongan minoriti terpinggir dan tertindas sehingga terdesak dan terpaksa menjual nyawa menjadi militan. Jauh sekali.
Realitinya golongan Muslim di Malaysia adalah golongan majoriti yang mendapat pelbagai keistimewaan dalam dasar dan peruntukan negara. Bahkan pemimpin tertinggi negara rata-rata terdiri daripada golongan Muslim.
Tambah lagi adanya institusi-institusi yang dibiayai kerajaan menggunakan wang rakyat untuk mengembangkan Islam secara menyeluruh.
Ini termasuk program dakwah, propaganda melalui media, pembiayaan infrastruktur, program akademik dan pelbagai kempen dan penguatkuasaan di setiap peringkat dan ruang untuk mencipta sejenis keseragaman ummah di Malaysia.
Munasabah dipersoalkan apakah sebenarnya doktrin yang diterapkan segala institusi dan organisasi Islam negara sehingga begitu mudah ideologi ekstremisme dan militan mendapat empati dan sokongan dalam kalangan rakyat Malaysia?
Wajar sekali kita berasa marah kerana penyebaran ideologi Daish di Malaysia bukti kegagalan seluruh kepimpinan dan institusi Islam negara untuk membentuk akal dan pandangan dunia yang sihat, membina masyarakat yang damai dan memberi kehidupan bermakna bagi setiap satu daripada kita.
Sebaliknya ada yang sanggup mensia-siakan nyawa menjadi pengganas militan dan lebih ramai lagi yang empati dengan mereka.
Nyata Islam Hadhari dan Wasatiyyah yang dihebahkan selama ini hanyalah jenama atas kertas dan omongan kosong golongan pemimpin.
Yang diperlakukan di dunia sebenar adalah budaya mengkafirkan sesama sendiri, mencetuskan kebencian terhadap bangsa dan agama lain serta memomokkan golongan minoriti dan terpinggir.
Siapa lagi ekstrem merekalah yang lebih syahid, tidak berapa beza daripada Daish.
Adakah keterlaluan jika mengatakan kita hanya selangkah daripada terorisme? Tidak. Rakyat Malaysia sudahpun terjebak dalam terorisme dan terorisme telahpun berlaku di negara kita.
Terkini menurut Timbalan Perdana Menteri: “Sekarang persoalannya bukan lagi jika tetapi bila serangan keganasan akan berlaku”.
Terorisme adalah metodologi Daish, iaitu mencapai hasrat politik melalui intimidasi dan keganasan di ruang awam.
Walaupun serangan ke atas kafe Movida tidak diakui Daish, ia selari dengan bentuk serangan kumpulan tersebut di tempat lain, contohnya di Dhaka baru-baru ini.
Ia menimbulkan rasa takut dan resah dalam kalangan orang ramai (beza daripada ugutan menculik seorang dua ahli kabinet sepertimana yang dilaporkan media).
Tetapi institusi Islam negara seolah-olah tidak gentar.
Tiada pun reaksi besar oleh jabatan agama atau para ulama apabila dilaporkan serangan di kafe Movida sebagai serangan pertama Daish di Malaysia.
Tiada pengumuman rombakan strategi dan perisian dakwah atau pendekatan baru untuk membantu masyarakat menghadapi kepelbagaian realiti kehidupan masakini yang kompleks.
Hari ini tindakan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan sekadar tindakan reaktif semata-mata kerana benih ekstremisme dan eksklusifisme sudahpun tersemai dan subur di Malaysia.
Mentaliti masyarakat sudah tersedia untuk memeluk fahaman sempit kumpulan-kumpulan seperti Daish.
Serangan kafe Movida menunjukkan anggota keselamatan seperti polis juga tidak terkecuali daripada pengaruh ini.
Nasi sudah menjadi bubur. Darah sudah tertumpah dan nyawa sudah tergadai.
Daish sebagai ideologi hanya boleh ditewaskan dengan ideologi yang tidak mirip dengannya. Malangnya perubahan yang dimaksudkan memerlukan pemimpin yang berani, berani mengemudikan negara daripada ekosistem institusi Islam yang sarat dengan ulama birokrat dan saudagar-saudagar agama dalam organisasi-organisasi politik yang telah menggagalkan kita.
Ikuti Juana Jaafar di juanajaafar.net dan juga di Twitter @juanajaafar.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.