Pihak polis akan menyiasat pelbagai sudut termasuk motif kejadian susulan kes letupan bom di Puchong awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaffar, siasatan pihak polis turut menjurus kepada kemungkinan beberapa mangsa yang menjadi sasaran penjenayah.

“(Pihak polis) melihat dari sudut sudut sama ada motif kejadian ini adalah (berkaitan) urusan perniagaan atau dendam atau kemungkinan salah satu mangsa atau beberapa mangsa ini merupakan orang yang menjadi sasaran penjenayah ini,” ujar Abdul Rahim.

Antara kenderaan yang mengalami kerosakan akibat terkena serpihan letupan bom. - Sumber foto: Saksi kejadian

Katanya dalam kejadian itu, seorang mangsa mengalami cedera parah.

Kejadian berlaku ketika pelanggan di premis tersebut sedang menyaksikan pelawanan bola sepak kejohanan Euro 2016 antara pasukan Itali dan Sepanyol kira-kira jam 1.30 pagi.

Beliau berkata demikian ketika melawat tempat kejadian pagi tadi.

Lapan pengunjung restoran cedera apabila terkena serpihan bom petrol yang dibaling oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan IOI Boulevard, di sini awal pagi tadi.

Papan iklan yang turut musnah akibat impak letupan di lokasi. - Sumber foto: Saksi kejadian