KUALA LUMPUR: Pemilihan Datuk Johari Abdul sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu adalah bertepatan dengan keperluan sidang Parlimen kali ini.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim melihat pengalaman dan kredibiliti Speaker yang baharu itu berupaya mengawal keadaan dan suhu Dewan Rakyat yang dijangka akan hangat.

Walaupun ramai memahukan seorang speaker yang kalau boleh tiada kecenderungan kepada mana-mana parti politik, Amir melihat Johari yang dahulunya bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ada manfaatnya.

“Johari tidak asing lagi dalam pihak PH, beliau memainkan peranan penting dalam pejabat Whip sebelum ini dalam kerajaan PH pada 2018.

“Jadi hari ini (sesi pertama sidang Dewan Rakyat penggal ke-15) kita lihat dari segi prestasi beliau nampak bahawa beliau berpengalaman dalam mengendalikan emosi perbahasan antara rakan-rakannya,” kata Amir dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Katanya, keberadaan Johari ada pentingnya untuk menyelaras iklim politik yang cukup panas dalam kerajaan campuran hari ini serta kemampuannya menguruskan ‘backbencher’ iaitu Ahli Parlimen tidak berjawatan dalam kerajaan atau pembangkang.

Begitupun beliau menegaskan, Johari diharapkan supaya berlaku adil kepada kedua-dua pihak untuk membina sinergi yang konstruktif dalam Dewan Rakyat.

Pemilihan Johari Abdul sebagai Speaker Dewan Rakyat sesuai dengan keadaan - Amir Fareed