Beliau berkata hal ini bersandarkan kepada pelbagai insentif dan dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk program Akademi Menara Gading (AMG) yang merupakan hasil cetusan idea Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Saya rasa ini permulaan yang baik dan alhamdulillah, kita menjunjung kasih kepada Sultan (Pahang) yang memang prihatin. Bukan sahaja memberikan masa baginda, tetapi juga Tuanku memberikan duit ringgit untuk memastikan anak-anak Pahang tidak terbiar khususnya golongan asnaf, yang tidak mampu.
"Saya rasa perkara ini sesuatu yang mesti dicontohi oleh masyarakat dan kita memberikan sokongan. (Kerana itu) di Pahang, harus menjadi kilang pengeluar pemimpin yang bukan sahaja pemimpin politik, tetapi juga pemimpin dalam perindustrian, pertanian dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelator Programme (AMG Next-Gen) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Gambang di sini semalam.
AMG yang diperkenalkan pada 1999 dianjurkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Istana Abdulaziz dengan kerjasama universiti awam bermatlamat membantu pelajar keluarga miskin, anak yatim dan Orang Asli negeri ini mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Program ini yang memasuki edisi kedua akan bekerjasama dengan UMPSA berpandukan kepada empat objektif utama iaitu kecemerlangan bidang akademik terutamanya bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan modal insan holistik, melahirkan pelajar memiliki kemahiran insaniah dan melatih pembinaan kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental.
Dalam pada itu, Johari berkata notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikemukakan pada bila-bila masa termasuk ketika persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung.
"Untuk memungkinkan (usul) undi tidak percaya itu terjadi, usul mesti dihantar kepada saya. Setakat hari ini, saya tidak dapat apa-apa usul. Ia boleh dihantar bila-bila masa, mereka boleh mengemukakannya kepada saya (termasuk ketika Parlimen sedang bersidang).
"Jadi, sekiranya mereka hendak kemukakan usul itu masih boleh lagi. Jika hantar hari ini, tiada masalah. Cuma, tidak semestinya usul itu akan diterima atau tidak. Speaker akan tengok dan kaji dulu, jika dirasakan wajar atau tidak (ia bergantung pada) kuasa Speaker akhirnya," katanya.
-- BERNAMA