KUALA LUMPUR: Proses persempadanan antara Putrajaya dan Selangor kini hampir selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam hantaran di X hari ini.

"Alhamdulillah, kerja-kerja pengukuran serta pemetaan sempadan yang melibatkan 24 pelan kerja telah selesai dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)," katanya sambil menambah perkara itu dimaklumkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan Bil. 3/2025 di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Dr Zaliha berkata sejak 2021, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti enam kawasan masalah sempadan tertangguh (OBP) dan semakan lanjut mendapati terdapat tiga lagi kawasan OBP baharu hasil daripada kerja ukur JUPEM hingga Februari tahun lepas.

"Langkah seterusnya adalah mendapatkan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi pihak Putrajaya dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi memuktamadkan persempadanan.

Insya-Allah, perjanjian bersama akan dimeterai pada tahun ini bagi mengesahkan garis sempadan rasmi kedua-dua wilayah," katanya.

Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan penguatkuasaan sempadan yang lebih bersepadu selain memaksimumkan guna tanah bagi pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah serta mengelak isu pencerobohan dan pertindihan kawasan.

"Doakan agar usaha ini diselesaikan dengan tuntas pada tahun ini demi kelestarian pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya," katanya.

-- BERNAMA