Ringkasan AI
- Suasana hiba menyelubungi kediaman Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai, dan pemimpin politik untuk memberikan penghormatan terakhir.
- Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Wilayah Jalan Duta dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1.
- Tun Daim Zainuddin menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan serta Ahli Parlimen selama lima penggal.
Tinjauan Astro AWANI mendapati ahli keluarga, sahabat handai dan pemimpin politik mula tiba di kediaman Allahyarham untuk memberikan penghormatan terakhir.
Antara yang telah hadir ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba sekitar jam 12.50 tengah hari; barisan Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dr Mahathir meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir lebih 30 minit sebelum dilihat meninggalkan kediaman Allahyarham Daim pada pukul 1.20 tengah hari.
Turut tiba ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada jam 1.30 tengah hari.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan sehingga jam 3.30 petang ini sebelum jenazah disolatkan di Masjid Wilayah Jalan Duta pada pukul 4 petang ini.
Jenazah Allahyarham kemudian dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 pada pukul 5 petang.
Daim yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.21 pagi tadi di Hospital Assunta di Petaling Jaya.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.